KUALA LUMPUR 15 Mac – Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak dihantui kekecewaan Piala AFF di Vietnam tahun lalu, sebaliknya menjadikan Piala Air Marine sebagai pengubat duka.
Ujar Cheng Hoe, Malaysia perlu membuka buku baharu dan memberi fokus terhadap kejohanan empat negara itu yang akan berlangsung pada 20 hingga 23 Mac ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
“Saya tak nak ada pemain dalam senarai awal 25 pemain ini tertekan berdasarkan prestasi kita tahun lalu.
“Perkara itu sudah berlaku dan menjadi sejarah. Kali ini, kita perlu membuka lembaran baharu menjelang Piala Air Marine.
“Saya harap pemain mampu menyahut cabaran 2019 kerana saya jangkakan saingan yang akan datang akan lebih mencabar,” katanya selepas majlis agihan tiket Piala Airmarine kepada pelajar sekolah di Petaling Jaya, dekat sini hari ini.
Malaysia memiliki ranking paling rendah dalam kalangan empat negara yang bakal berentap pada edisi sulung Piala Air Marine dengan menduduki tangga ke-167 dunia.
Lawan yang akan ditentang anak-anak buah Cheng dalam aksi pembukaan, Rabu depan iaitu Singapura berada di tangga ke-165 manakala Oman turun sebagai pasukan terbaik selepas menghuni ranking ke-90, diikuti Afghanistan (147).
Piala Air Marine menjadi platform terbaik buat skuad kebangsaan meraih pendedahan dan mengutip mata bagi memperbaiki ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Kata Cheng Hoe lagi, tiada istilah menggugurkan pemain meskipun senarai akhir pasukan adalah 22 pemain.
“Kita tidak akan menggugurkan tiga pemain biarpun senarai akhir adalah 22 sahaja.
“Tiga pemain itu sebaliknya akan ‘disimpan’ dan mungkin berlaku pertukaran menjelang aksi kedua kerana saya merasakan kejohanan kali ini peraturannya tidak terlalu ketat dan lebih kepada aksi persahabatan sahaja,” katanya.
Source from: Utusan Online