Skuad Kebangsaan Afghanistan ganti Kepulauan Solomon. FOTO AFF

Kuala Lumpur: Selepas Kepulauan Solomon sah terpaksa menarik diri daripada menyertai Piala Airmarine pada 20-23 Mac ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menunggu lama mencari pengganti apabila difahamkan skuad kebangsaan Afghanistan sedia mengisi kekosongan itu.

Menurut sumber, hasil perbincangan pantas bersama Persekutuan Bolasepak Afghanistan (AFF) menyaksikan pasukan di ranking ke-147 dunia itu bersedia untuk menyertai saingan empat penjuru itu bersama Malaysia (ranking 167), Oman (90) dan Singapura (165).

“Walaupun Solomon menarik diri disaat akhir, tetapi FAM berjaya mencari pengganti dengan pantas selepas AFF menunjukkan minat yang amat mendalam untuk datang ke Malaysia bagi sertai Piala Airmarine.

“Semuanya nampak positif cuma FAM masih menunggu surat hitam putih sebelum boleh mula mengeluarkan kenyataan.

Apapun, Afghanistan tetap pasukan yang kuat memandangkan mereka juga berada pada ranking lebih baik daripada Malaysia dan Singapura,” katanya.

Kepulauan Solomon yang menghuni tangga ke-143 dunia terpaksa menarik diri daripada Piala Airmarine kerana sudah ‘terlebih’ jumlah perlawanan dalam satu jendela antarabangsa.

Menerusi peraturan kalendar antarabangsa FIFA, setiap pasukan hanya boleh mengharungi maksimum dua aksi dalam satu jendela antarabangsa dengan Kepulauan Solomon sebenarnya sudah pun mengesahkan aksi persahabatan bertemu Taiwan pada 24 Mac.

Situasi itu sekali gus menyaksikan mereka bakal beraksi tiga perlawanan dalam satu jendela antarabangsa sekali gus perlu melepaskan satu perlawanan supaya tidak melanggar peraturan ditetapkan.

Selepas Taiwan, mereka akan beraksi dalam satu lagi aksi persahabatan bertemu Vanuatu pada 17 Mac namun ia berlangsung di luar kalendar FIFA dan tidak mendatangkan sebarang masalah.

Source from: Harian Metro