Pertahanan PKNS FC, Nicholas Ryan Swirad, bakal menyertai kem kebangsaan dengan keazaman tinggi selepas memastikan kubu pasukannya tidak bolos empat perlawanan berturut-turut, termasuk ketika menewaskan Felda United 2-0.
Swirad antara muka baru yang dipanggil Tan Cheng Hoe untuk menyertai kem latihan kebangsaan menjelang Piala Airmarine di Stadium Nasional Bukit Jalil bermula 20 Mac ini.
Tubuh tinggi lampai menjadi kelebihan untuk pertahanan berusia 27 tahun itu, yang memikat Cheng Hoe menerusi aksi cemerlang ketika PKNS meraih kemenangan ketiga di Shah Alam.
“Saya berharap dapat melakukan yang terbaik buat skuad negara dalam saingan antarabangsa,” katanya.
Selain Swirad, pemain tengah PKNS, Muhammad Akram Mahinan, turut dipanggil dalam kem latihan kebangsaan bermula esok.
Sementara itu, penjaga gol PKNS, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin, mengintai peluang sama selepas berjaya melindungi pintu golnya daripada bolos dalam empat perlawanan terakhir.
“Kami telah bekerja sebagai satu pasukan dan mengelak daripada melakukan kesilapan bagi memastikan gawang tidak dibolosi lawan,” kata Zarif.
Source from: Stadium Astro