Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi. – Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi jaminan tidak timbul isu perebutan pemain membabitkan Harimau Malaya dan skuad bawah 23 tahun (B-23) ketika kedua-duanya dijadualkan membawa nama negara dalam pertandingan antarabangsa.

Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe akan bermain dalam aksi empat negara Piala Airmarine, membabitkan Kepulauan Solomon, Singapura dan Oman pada 20 hingga 23 Mac ini manakala skuad B-23 kendalian Datuk Ong Kim Swee berdepan tugas lebih penting pada kelayakan Kejuaraan AFC B-23 (22 hingga 26 Mac).

Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, skuad B-23 jelas menjadi keutamaan ketika ini dan Kim Swee dijangka tidak akan berdepan masalah mendapatkan pemain terbaik.

“Kim Swee ada minta supaya pemain B-23 dilepaskan. Jangan ‘sentuh’ pemain B-23 sebab kita mahukan skuad terbaik menghadapi pusingan kelayakan Kejuaraan AFC B-23 nanti.

“Kita nampak situasi itu dan sudah beritahu Cheng Hoe supaya memilih pemain lain. Lagi pun kita memiliki ramai pemain berusia lebih 23 tahun yang mampu disenaraikan dalam pasukan (Harimau Malaya),” katanya.

Antara pemain skuad B-23 yang sering mendapat panggilan Harimau Malaya adalah Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Syahmi Safari dan Adam Nor Azlin.

Keadaan itu merisaukan peminat negara ketika isu ketiadaan pemain terbaik menyaksikan skuad B-22 ke kejuaraan AFF di Kemboja baru-baru ini gagal melepasi peringkat kumpulan.

Ia susulan lima pemain – Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam (Kedah), Muhammad Danial Amier Norhisham, Muhammad Zahril Azri Zabri (FELDA United), Mohd Faisal Abdul Halim (Pahang) dan Syahmi Safari (Selangor) – yang dipanggil pengendali kelahiran Melaka itu tidak dilepaskan pasukan masing-masing.

Pada masa sama, Mohd Yusoff tidak merasakan isu keengganan pasukan melepaskan pemain kembali berulang kerana tarikh berkenaan adalah tempoh rehat antarabangsa dan liga juga akan dihentikan seketika.

“Saya tidak nampak akan ada pasukan yang enggan melepaskan pemain kerana ketika itu tidak ada perlawanan (aksi liga). Agak mustahil jika ada pasukan mahu ‘simpan’ pemain hanya untuk latihan saja.

“Tetapi kalau itulah jawapan pasukan, ia satu yang malang buat bola sepak negara,” katanya.

Source from:- Berita Harian