KUALA LUMPUR 25 Feb.- Penganjuran Piala Airmarine medan terbaik Malaysia elak daripada bermain playoff kelayakan Piala Dunia 2022.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Wira Yusoff Mahadi berkata syarat untuk tidak beraksi dalam aksi play-off, pasukan Harimau Malaya perlu berada dalam kelompok ranking ke-34 terbaik zon Asia.
Ketika ini Malaysia menghuni di tangga ke-35 ranking Asia dan ke-167 FIFA.
“Kami mahu saingan kelayakan nanti, Malaysia berada dalam kelompok 34 terbaik Asia bagi mengelak saingan play-off,” katanya dalam sidang media Piala Airmarine di sini, hari ini.
Penganjuran Piala Airmarine 2019 disertai Oman, Singapura dan Kepulauan Solomon bakal dianjurkan buat julung kali pada 20 hingga 23 Mac ini yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Piala Airmarine yang dianggap platform terbaik skuad Harimau Malaya mahu dijadikan sebagai kejohanan tahunan dengan mendapat pengiktirafan kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Ini merupakan penganjuran pertama bagi saingan ini. Kami akan meneliti selepas ia selesaikan dijalankan bagi melihat kebarangkalian ia akan dianjurkan pada tahun berikutnya,” kata Ketua Pegawai Proevents, Julian Kam. – UTUSAN ONLINE
Source from:- Utusan Online